Lebih 97,000 petugas barisan hadapan di Sarawak akan divaksin

KUCHING: Seramai lebih 97,000 orang petugas barisan hadapan di Sarawak sudah didaftarkan untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19.

Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing berkata kesemuanya adalah disenaraikan dalam fasa pertama program vaksinasi Covid-19 Sarawak yang akan bermula pada penghujung bulan ini.

“Sebelum memulakan fasa pertama ini, kami sudah mengumpulkan lebih 97,000 orang petugas barisan hadapan dan senarai nama mereka juga sudah diperolehi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 Sarawak di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) lama di sini, hari ini, yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Dalam pada itu, Dr Chin berkata pihaknya kini juga sedang mendapatkan pendaftaran vaksinasi bagi fasa kedua dan ketiga, dengan keutamaan diberikan kepada orang ramai berumur lebih 60 tahun dan mempunyai penyakit.

Sementara berhubung jumlah kes positif Covid-19 yang tinggi di Sibu, beliau berkata pihaknya sentiasa memantau keadaan dan memastikan petugas kesihatan yang ditempatkan di Hospital Sibu mencukupi.

“Sebenarnya kami ada menugaskan staf dari bahagian dan hospital lain untuk pergi ke Sibu.

“Setakat ini, sudah lebih 100 orang staf ditugaskan ke sana dan yang masih ada di sana lebih kurang 60 orang.

“Kami akan sentiasa memantau dan menggantikan mereka yang balik ke tempat tugas asal, dengan menghantar staf lain untuk meringankan beban mereka di Sibu,” katanya.