Lebih banyak pasukan SAR akan ditubuhkan – Bomba

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merancang untuk menubuhkan lebih banyak pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di gunung dan gua untuk bertindak balas terhadap kecemasan di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata ketika ini terdapat satu pasukan mencari dan menyelamat gunung (Mosar) di Gunung Kinabalu, Sabah.

Katanya, pihak bomba telah melantik 40 malim gunung sebagai pegawai bantu untuk Mosar di Sabah, kerana mereka sudah biasa dengan Gunung Kinabalu dan turut menerima elaun serta peralatan pelindung diri.

“Selepas ini, kami merancang untuk menubuhkan pasukan Mosar di Semenanjung Malaysia iaitu di kawasan yang terdapat aktiviti mendaki dan rekreasi, antaranya seperti di Kuala Tahan, Pahang.

“Kami akan mengikuti prinsip yang sama seperti yang dilaksanakan di Sabah dan melantik malim gunung sebagai pegawai bantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program peningkatan kecemerlangan bagi zon dan ketua kebakaran di Sarawak, Sabah dan Labuan di sini hari ini.

Muhammad Hamdan berkata jabatan itu turut merancang untuk membentuk pasukan mencari dan menyelamat di Taman Negara Mulu, Sarawak.

“Kami percaya dengan latihan dan kemahiran yang betul, pasukan seperti ini dapat beroperasi dengan lebih cekap.

“Kita tidak boleh menyamakan pasukan itu (Mosar) sebagai penyelamat am kerana kepakaran khusus diperlukan untuk menjalankan penyelamatan gua,” katanya.

Beliau berkata terdapat dua pasukan menyelamat gua di Semenanjung yang berpangkalan di Perak dan Pahang, manakala pasukan Mulu akan dibentuk tidak lama lagi.