KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menambah baik dan menyediakan lebih banyak unit set Raspberry Pi termasuk monitor, papan kekunci dan tetikus kepada semua sekolah di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, setakat ini pihaknya sudah mengagihkan lebih 9,000 unit set tersebut kepada sekolah rendah di seluruh Sarawak.
“Kita bekalkan set Raspberry Pi kepada semua sekolah rendah di negeri ini, tidak kira di bandar mahupun luar bandar.
“Jumlah tersebut akan ditambah pada masa akan datang. Kita akan usahakan dahulu. Apabila ditambah kelak, kita juga akan menambah baik peranti dan peralatan lainnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sidang media Acara STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) Trailblazers – Powered by Pi di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, di sini, Rabu.
Raspberry Pi ialah komputer bersaiz kad kredit berkos rendah yang disambungkan ke monitor komputer. Ia adalah peranti berkebolehan yang membolehkan pelajar meneroka sistem pengkomputeran dan mempelajari cara pengaturcaraan dan pengekodan komputer dalam bahasa seperti Scratch dan Python.
Mengulas lanjut katanya, usaha itu untuk mempromosikan STEM dan pendidikan teknologi maklumat (ICT) kepada pelajar-pelajar di negeri ini bermula dari usia yang muda untuk melahirkan generasi yang dapat memenuhi keperluan industri 4.0 pada masa hadapan.

Judi online berselindung dalam kedai kopi
KUCHING: Beberapa kedai kopi yang beroperasi di bandar dalam kawasan