KUCHING: Berada di tempat awam melebihi masa ditetapkan dan membawa penumpang melebihi had dibenarkan antara kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling banyak dicatatkan di Sarawak.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), ia menyumbang kepada 55 kompaun yang dikeluarkan PDRM hari ini.
“Sebanyak 17 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan berada di tempat awam melebihi masa dan 14 kompaun kerana membawa penumpang melebihi had dibenarkan.
“Masing-masing lima kompaun dikeluarkan kerana merentas daerah tanpa surat kebenaran dan membuka premis bukan perkhidmatan perlu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lain-lain kesalahan adalah tidak memakai pelitup muka, berada di premis melebihi masa yang dibenarkan semasa PKP, tiada penjarakan fizikal, tidak mengemaskini buku daftar masuk pelanggan, tidak mengimbas MySejahtera dan masuk ke kawasan PKPD tanpa kebenaran.
“Kuching mencatatkan jumlah tertinggi dengan 14 kompaun, Bintulu (11), Lawas (5), Padawan (3), Tatu (3), Dalat (3), Mukah (3), Kapit (2), Serian (2), Kanowit (2), Sarikei (2), Saratok (2),Miri (1), Betong (1) dan Kota Samarahan (1),” ujarnya.
Menurut JPBNS, ini menjadikan jumlah keseluruhan kompaun yang telah dikeluarkan sejak 18 Mac 2020 hingga hari ini sebanyak 7,153 kompaun.
“Manakala, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak telah mengeluarkan empat kompaun dengan masing-masing satu di Kota Samarahan, Bintulu, Sarikei dan Lawas,” tambah JPBNS.