ARTIKEL

Foto KEMENTERIAN KERJA RAYA

Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak siap 99 peratus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak kini mencapai kemajuan 99.42 peratus sehingga 25 April lalu susulan dua daripada 25 bahagian dibuka sepenuhnya kepada orang ramai.

Timbalan Premier yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagi dua bahagian iaitu di Sarikei dan Beluru, ia berada di peringkat akhir pembinaan dan dijangka siap pada suku ketiga pada tahun ini.

“Manakala, bagi bahagian Lambir yang selebihnya akan dijangka siap pada 2027 dengan dua skop tambahan baharu iaitu pembinaan jejambat sepanjang kira-kira satu kilometer (km) di Bukit Song.

“Di samping itu, penjajaran semula jalan sepanjang 4 km untuk mengelakkan sesalur air Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.

Mengulas lanjut katanya, Kerajaan Persekutuan turut meneliti pemulihan jalan berkembar sedia ada yang dikecualikan daripada projek menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo.

Ujarnya, jarak projek tersebut adalah sejauh 136 km dan dikenali sebagai Pan Borneo Red Line dan melibatkan beberapa kawasan.

Antaranya Batu Kawa ke Serian, Julau ke Lapangan Terbang Sibu, Lapangan Terbang Bintulu ke Nyabau, Pujut Link ke Kuala Baram dan sembilan lorong memotong.

Beliau turut memberitahu, mengenai Lebuh Raya Trans Borneo yang juga merupakan salah satu komponen di bawah Lebuh Raya Asia 150 (AH 150), menghubungkan Sarawak dan Sabah melalui Brunei Darussalam.

“Projek ini mengandungi tiga bahagian iaitu Seksyen Miri, (dari Kuala Baram ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Sungai Tujuh), Seksyen Limbang (dari CIQ Tedungan ke CIQ Pandaruan) dan Seksyen Lawas (dari bandar Lawas ke CIQ Merapok).

“Bagi bahagian Miri, ia disasarkan akan ditender pada bahagian keempat suku tahun 2024. Manakala, dua bahagian iaitu Limbang dan Lawas kini di peringkat pra-kontrak dan disasarkan untuk ditender pada suku pertama 2025,” jelasnya.

Di samping itu, bagi SabahSarawak Link Road (SSLR), Kerajaan Persekutuan dalam usaha menghubungkan Miri-Limbang-Lawas melalui infrastruktur tanah dan telah meluluskan pembinaan SSLR. Projek tersebut bermula dari Mulu (SSLR Fasa 2-Pakej 1) dan berakhir di Simpang Gelugus (SSLR Fasa 1).

Jelasnya, bagi SSLR Fasa 1 yang bermula dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sejauh 76 km, projek ini sedang berjalan dengan kemajuan fizikal sebanyak 29.7 peratus pada 25 April lalu.

Manakala, bagi SSLR Fasa 2 dengan panjang keseluruhan 320 km, Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan kepada kontraktor yang berjaya pada 25 Mac 2024.

Tambahnya, kerja pembinaan fizikal tersebut dijangka bermula pada Jun 2024.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU