Lega, saringan calitan pertama Covid-19 negatif – Kui Hian

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian disahkan negatif untuk saringan calitan pertama Covid-19.
Kui Hian dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, beliau menerima keputusan tersebut dari pihak hospital pagi tadi yang memaklumkan bahawa keputusan saringan calitan beliau di Klinik Kesihatan Batu Kawa semalam adalah negatif.
Beliau yang juga Adun Batu Kawa berkata, buat masa ini beliau akan bekerja dari rumah sementara menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari, sehingga 22 Januari ini.
“Maka bermula sekali lagi Pengawasan dan Pemerhatian di rumah (HSO).
“Borang Home assessment tool (keperluan KKM, seperti kuarantin sebelum ini.
“Laporan lokasi (keperluan Kerajaan Sarawak, dasar baharu untuk kuarantin di rumah). Bekerja dari rumah,” katanya, ringkas dalam hantaran tersebut.
Semalam, Kui Hian menjalani saringan calitan Covid-19 secara pandu lalu di Klinik Kesihatan Batu Kawa selepas terdedah dengan individu yang disahkan positif Covid-19 pada 8 Januari lalu.
Menurut beliau, individu tersebut tidak bergejala dan hanya didapati positif Covid-19 selepas menjalani saringan calitan kedua pada 15 Januari.
Sementara itu, ia adalah kali kedua Kui Hian menjalani tempoh kuarantin di rumah selepas kali pertama pada April lalu.