Legasi kedai runcit sungai di Batang Mukah kini di penghujung usia

SEAWAL terbitnya matahari pada pagi hari, menjadi rutin seorang warga emas Cina sejak 30 tahun menaiki perahu kecil membawa barang jualan menyusuri Sungai Batang Mukah untuk dijual ke kawasan perkampungan di pedalaman.

Pasti ada pembaca keliru, bagaimana kedai runcit menyusuri sungai?

Ya, jika ada yang kagum dengan pasar terapung di luar negara, ia bukan perkara baharu buat Kueh Beng Siong yang berusia 62 tahun.

Maknanya sejak berusia 32 tahun, setiap pagi Beng Siong yang mesra dipanggil Ah Peng memulakan harinya sekitar jam 7.30 pagi menyusuri sungai di Kampung Sesok Baru, Kampung Penakub Ulu, Kampung Tegak, Kampung Teh hingga Kampung Sau sambil membawa barang-barang runcit penuh satu perahu.

Ah Peng! Ah Peng! jerit orang kampung sebaik mendengar bunyi enjinnya dan Ah Peng akan singgah di jeti malah berhenti di jelatong – tandas yang dibina di tebingan sungai – Ah Peng boleh singgah di mana-mana bagi memenuhi keperluan pelanggannya.

AH PENG OH AH PENG!

Apeng berasal dari Kampung Penakub Bazaar mengakui aktiviti perniagaannya yang bergerak melalui jalan air banyak membantu menyara dan membesarkan kesemua enam anaknya dan kini memiliki 12 cucu.

Merupakan satu-satunya pemilik kedai mini di atas perahu yang masih wujud dan Ah Peng percaya selagi ada kudratnya walaupun berhadapan masalah kesihatan, dia tetap meneruskan perniagaannya yang sudah cukup sebati dalam kehidupan seharian.

“Saya berdagang lebih tiga dekad. Ia bermula selepas kedai runcit ayah saya tidak lagi mendapat sambutan selepas adanya jalan raya kecil.

Idea tercetus apabila dengan adanya perahu, saya gunakan kelebihan sungai di kampung ini sampai ke pedalaman untuk menjual barangan runcit.

“Dulu ketika tiada jalan raya berturap, penduduk di Kampung Sau sehingga Jebungan akan bersampan dan menggunakan bot ke sini untuk membeli barang seawal jam 5 atau 6 awal pagi. Ketika itu saya terfikir, mengapa tidak saya yang datang kepada mereka?

“Saya mula berdagang di sungai sejak anak kedua berusia dua tahun sehingga sekarang.

Bagaimanapun, kini agak kurang mendapat sambutan kerana adanya jalan raya yang menghubungkan kampung-kampung di sini,” katanya.

Ditemui Suara Sarawak di rumahnya dan berkesempatan menaiki perahu bersamasamanya sehari, anak kelima daripada 11 adik-beradik itu tabah menyusuri sungai dan perahu penuh dengan barang-barang runcit termasuk tong gas memasak.

Ketika mengikutinya, penulis mendengar namanya dipanggil Ah Peng , Ah Peng – itulah peminatnya yang kebanyakannya suri rumah tangga.

“Ramai penduduk sudah biasa dengan saya. Malah saya dapat berjumpa dengan rakan-rakan lama.

Walaupun beli barang sedikit, saya dapat bercerita seketika dengan mereka yang kebanyakannya petani atau pekebun rumbia sekitar jam 9 pagi sebelum mereka pergi ke hutan.

“Kami berkongsi apa-apa sahaja cerita, selepas itu mereka ke kebun dan saya meneruskan perjalanan di sungai ini.

Saya percaya setiap orang ada rezeki masing-masing.

“Bagi yang sudah biasa sejak mereka kecil lagi di sekitar kampung di Batang Mukah ini, ada yang kenal saya terutamanya kanak-kanak yang kini sudah dewasa.

“Tetapi sekarang tiada lagi teriakan mereka kerana kanak-kanak masa kini pasti tidak suka melihat sungai. Mereka lebih seronok melayari Internet ,” katanya lagi.

SAYALAH BOS, SAYALAH KULI

Biarpun tiga perahunya bersilih ganti digunakan, Ah Peng mengakui aktiviti perniagaannya mungkin suatu hari nanti tidak akan diteruskan jika bot kayunya itu rosak, uzur dan semakin kurang permintaan orang ramai.

“Bila perahu ini sudah buruk saya mungkin akan berhenti terus.

Sebab ramai pelanggan selalu tanya, mengapa tidak buat perahu baharu. Bukan saya tidak mahu, tetapi saya sudah tidak kuat seperti dahulu, semua anak sudah dewasa, cucu ada 12 orang, saya rasa selepas ini mungkin saya akan berehat di rumah dan menternak ayam dan lakukan kerja rumah.

“Saya sudah tua, sukar bekerja dengan orang lain apatah lagi untuk menjalankan kerja berat.

Saya ada sejarah sakit jantung tersumbat sejak enam tahun lalu, jadi saya kena berhati-hati.

“Sayalah bos, sayalah kuli kerana saya sendiri tetapkan masa sesuai untuk saya balik ke rumah.

Rutin harian bermula jam 7.30 pagi hingga jam 2 petang.

Dulu memang ada yang sedia menunggu di jeti, sekarang susah sikit.

“Kini saya hadkan pergerakan hingga ke Kampung Teh Labak, tidak sampai jam 10 saya sudah balik,” jelasnya.

BELI DAHULU, BAYAR KEMUDIAN

Tahu keperluan pelanggan, Ah Peng percaya perkhidmatan disediakannya banyak membantu penduduk memerlukan bagi membeli barang, bak kata orang, beli dahulu bayar kemudian.

Ah Peng membenarkan pelanggannya membeli secara ansuran.

“Saya tahu pelanggan ramai yang bekerja di ladang sawit, ada yang ambil barang akan bayar apabila mereka terima gaji.

Sebab itu, mereka selesa menunggu dijeti kemudian ambil barang.

Saya akan catat jumlah barang dalam buku.

“Mereka memang perlukan kedai sungai saya sebab memudahkan tambahan bagi yang jauh mungkin sukar bagi mereka ke pasar Mukah.

“Saya pasti pelanggan tetap saya petani dan penduduk kampung di kawasan pedalaman Mukah.

Ada juga yang menelefon dan saya menghantar hingga ke jeti di depan rumah.

“Mereka percaya kepada saya dan saya percaya kepada mereka, justeru, sama-sama bertimbang rasa, lagipun mereka boleh bayar balik,” ujarnya lagi.

PELBAGAI BARANG KEPERLUAN

Bagi penduduk ada yang menggelarkannya sebagai kedai terapung kerana menjual pelbagai barang keperluan khasnya barang dapur yang diperlukan di dalam satu perahu.

Ah Peng menunjukkan sempat menunjukkan barang yang dijualnya antaranya beras, roti, gula, garam, kuih kering, air minuman, mi segera, keropok, minyak masak, sabun, pencuci pakaian, telur, makanan ternakan ayam dan banyak lagi.

“Dahulu saya ada jual pancing, termasuk pekakas menjahit, jarum semua, kini kurang jika dibandingkan dahulu.

“Tiga puluh tahun dulu saya memperoleh RM500 lebih untuk sehari, terasa sangat besar untung.

“Kini RM400 hingga RM500 sehari, namun kos hidup yang tinggi, nampak nilainya kecil,” katanya lagi.

Bagi salah seorang warga emas yang sempat ditemui Suda Gain 65, perkhidmatan Ah Peng telah lama beroperasi sejak zaman ayahnya masih wujud.

“Saya dulu selalu beli barang dengan dia, banyak juga membantu kami khasnya yang jauh dari pasar Mukah.

Kami di kampung ini memang kenal dengan dia, “ katanya lagi. Ketika kami pulang dan berehat di belakang rumah Ah Peng, terdapat banyak sangkar ayam.

“Apabila habis berjual, ada masa lapang saya akan menghabiskan masa dengan ayam peliharaan. Memang hobi saya sejak kecil bela ayam. Masa sekolah rendah, saya bermain dengan ayam milik rakan.

Saya memang minat membela ayam.

“Saya juga menjual jantan pada harga RM200 hingga RM300 seekor.

“Selepas selesai uruskan ayam, saya menyusun atur barang yang perlu di dalam perahu sehingga jam 5 petang.

ADA PELANGGAN TETAP

“Saya membuat persiapan untuk esok hari pula dan selepas selesai, saya berehat,” katanya lagi.

Seperti peniaga lain, Ah Peng turut sama terkesan dengan impak Covid-19 kerana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan awal tahun lalu, dia tidak boleh berniaga.

“Sekarang, jika tidak sihat saya cuti malah penduduk kampung tahu jika tidak melihat kelibat saya pada jam tertentu.

“Kalau jam 8, 9 atau 10 pagi saya tidak sampai ke jeti, mereka tahu dengan sendirinya.

Paling penting apabila saya maklumkan kepada penduduk, dan mereka kemudian maklumkan dengan orang kampung saya tidak berniaga pada hari tertentu.

“Saya bangun awal setiap pagi pada jam 6. Saya mandi, bersarapan sebelum bergerak pada jam 8 pagi,” jelasnya.

Malah sepanjang lebih 30 tahun tersebut, Ah Peng turut menzahirkan penghargaan kepada semua penduduk kampung di Mukah yang selama ini yang banyak menolongnya.

“Pelanggan saya daripada pelbagai latar belakang, mereka berasa begitu senang berurusan sehingga saya ada pelanggan tetap malah ada yang saya kenal sejak remaja, kini sudah ada cucu,” katanya.

Satu-satunya masih wujud di sini, penduduk luar Mukah berpeluang berjumpa di sepanjang laluan sungai Batang Mukah di Kampung Tegak atau Kampung Penakub pada jam 8 hingga 10 pagi.

Semoga kisahnya dapat menjadi panduan untuk semua agar terus cekal meneruskan kehidupan seharian walaupun untungnya tidak seberapa. Kami masih mengharap orang seperti Ah Peng terus hidup untuk mengocakkan keindahan sungai di kampung-kampung di sini.

Suara Sarawak