Legenda Puteri Santubong tarik pelancong

KUALA LUMPUR: Andai sebelum ini, produk seperti kek lapis, batik Sarawak dan petikan sape menjadi tarikan, legenda Puteri Santubong dilihat sebagai material berharga dalam mempromosikan pelancongan Sarawak.

Apa yang menarik, kisah puteri itu dipersembahkan dalam bentuk teater dan tarian bagi memberi peluang hadirin merasai sendiri pengalaman perjalanan mistikal legenda itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Datu Salleh Askor berkata, sebelum ini tarikan lebih kepada hard product namun kali ini, pihaknya mahu tampil kelainan.

“Legenda Puteri Santubong sangat kuat dalam DNA rakyat Sarawak dan satu keunikan untuk ditampilkan kepada masyarakat luar.

“Elemen-elemen mistikal yang penuh pengajaran ini mampu menggamit pelancong untuk mengenali legenda itu dan seterusnya berkunjung ke Gunung Santubong,” katanya kepada pemberita selepas majlis The Enchantment of Santubong di sini hari semalam.

Turut menjadi tumpuan apabila suasana majlis diwarnai dengan kostum tradisi dan alunan petikan sape serta keindahan alam semula jadi Bumi Kenyalang yang menghiasi dewan dan latar.

“Malam ini, kami mahu pesona Sarawak dirasai sendiri oleh lebih 100 pengamal media dan wakil pelbagai agensi memandangkan negeri ini banyak yang boleh diterokai mereka.

“Jadi, selain kebudayaan, produk makanan dan kraftangan, kini pengunjung boleh menerokai legenda-legenda yang terkenal di sini,” katanya.– BERNAMA

Suara Sarawak