MIRI: Seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah motosikal dan sebuah motokar di KM822.1 Jalan Pan Borneo berhampiran Jalan Suai, Batu Niah, petang semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira 4.30 petang itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motokar yang dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun dalam perjalanan dari Miri menuju ke Bintulu melanggar motosikal mangsa.
“Penunggang motosikal itu dilaporkan tiba-tiba menukar laluan dari sebelah kiri ke kanan jalan bagi memasuki laluan pusingan U (P-turn) arah Bintulu-Miri,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Farhan memaklumkan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, pemandu motokar bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Nor Afifah Nordin, atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Dalam pada itu, pihak polis turut mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas, khususnya menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.




