Trending

Lelaki aktif meragut dicekup

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menangkap seorang lelaki yang aktif melakukan jenayah ragut di sekitar bandar raya ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata lelaki berusia 37 tahun itu dicekup kira-kira jam 5 petang semalam, susulan dua laporan kes ragut yang dibuat oleh dua orang mangsa pada 3 September lalu, yang masing-masing berlaku di Taman Hui Sing dan Pusat Komersial Stutong.

Katanya kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki berumur 55 tahun dan seorang wanita berumur 39 tahun telah diragut rantai leher emas semasa pulang membeli barang keperluan rumah oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal tanpa dikenalpasti nombor pendaftaran motosikalnya.

“Hasil tangkapan ke atas suspek, pihak polis telah membuat beberapa rampasan iaitu motosikal dan topi keledar yang digunakan suspek.

“Suspek juga mengaku melakukan kedua-dua kes ragut berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon menambah pihaknya kini sedang berusaha mengesan barang kemas milik mangsa.

Katanya semakan rekod jenayah turut mendapati suspek mempunyai 15 rekod iaitu satu jenayah ragut, dua jenayah kekerasan dan 12 berkaitan dadah.

Beliau berkata pihaknya juga telah membuka dua kertas siasatan berhubung dua aduan berkenaan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 14 tahun, denda atau sebat.

Sementara, tindakan suspek meragut salah seorang mangsa turut tular di media sosial apabila perbuatannya itu dirakam menerusi kamera depan sebuah kereta yang diletakkan tidak jauh dari tempat kejadian.

Dia kelihatan meragut rantai emas mangsa yang ketika itu berada di dalam kereta namun cermin tingkap di bahagian pemandu dibuka.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru