Lelaki berdepan hukuman gantung edar ganja

KUCHING: Seorang pengedar dadah terpaksa menyerahkan bekalan ganja yang disembunyikannya di atas siling dapur rumah, selepas dicekup dalam Operasi Sulit, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Superintendan Sahar Abd Latif berkata ganja yang dirampas dari suspek itu adalah seberat 406.40 gram yang dianggarkan bernilai RM6,900.

Menurut beliau, lelaki berusia 33 tahun dari Kampung No.4, Kuching itu pada awal ditahan dalam Operasi Sulit yang dijalankan oleh pasukan JSJN IPK Sarawak.

Katanya berdasarkan maklumat dan risikan, pasukan JSJN IPK Sarawak telah menyerbu sebuah rumah di Tabuan Jaya Baru Fasa 1 sekitar jam 7 malam dan menahan suspek bersama seorang lagi lelaki dan seorang wanita.

Bagaimanapun, katanya pemeriksaan ke atas badan mereka dan rumah terbabit tidak menemui apa-apa bahan disyaki dadah.

Hasil soal siasat pada lebih kurang jam 8.30 malam, Sahar berkata suspek telah memandu arah pasukan serbuan ke sebuah rumah di Jalan Haji Kassan, Kampung No.4 dan kemudian menyerahkan satu beg kertas yang disembunyikan di atas siling bahagian dapur rumah.

“Pemeriksaan terhadap kandungan beg itu mendapati mengandungi dua ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja yang dibaluti oleh plastik lutsinar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sahar berkata suspek dipercayai bermula dengan kegiatan pengedaran dadah di sekitar bandaraya Kuching sejak tahun 2017.

Beliau menambah dia yang juga positif dadah jenis syabu kini ditahan di lokap Balai Polis Sentral untuk siasatan lanjut.

Manakala seorang lagi lelaki dan seorang wanita yang dicekup bersama suspek telah dibebaskan tanpa syarat selepas didapati negatif dadah.

Sahar berkata suspek kini sedang menunggu proses permohonan reman dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhlan hukuman mati mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.