KUCHING: Seorang lelaki sempat menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa dalam kejadian kebakaran yang menimpa kediamannya di Kampung Segedup, Batu Kawa, Isnin.
Rumah separuh kekal berkeluasan 20×20 didiami oleh mangsa berusia 58 tahun itu ternyata hancur secara menyeluruh akibat insiden berkenaan yang dilaporkan berlaku sekitar jam 5.45 petang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan mengesahkan mangsa yang dipercayai tinggal berseorangan di rumah tersebut sempat melarikan diri ketika kejadian berlaku.
“Seramai 12 anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat(BBP) Batu Lintang telah digerakkan ke lokasi sejurus mendapat berita laporan berhubung insiden menerusi Bilik Kawalan Batu Lintang.
“Setibanya di lokasi bagaimanapun mendapati rumah terbabit telah terbakar 100 peratus,” jelasnya menerusi satu kenyataan semalam.
Tambahnya, pasukan operasi turut melakukan tindakan pemadaman dengan menggunakan satu aliran 100 kaki air dari tangki jentera bagi memastikan api dipadam sepenuhnya.
Ujarnya, operasi pemadaman akhirnya tamat pada jam 6.55 petang.
