KUCHING: Seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas mengaku bersalah di hadapan Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang tidak mempunyai talian persaudaraan dengannya, tahun lalu.
Hakim Maris Agan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap Mohammad Saiful Anuar Sahari, 25, bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, dia telah melakukan perbuatan terkutuk itu sebanyak tiga kali dengan memeluk, mencium pipi, meraba buah dada dan menyentuh kemaluan kanak-kanak terbabit di sebuah rumah beralamatkan Jalan Matang, di sini, tahun lalu.
Berdasarkan fakta kes, pengadu (ibu mangsa) mendapat tahu daripada ibu mertuanya bahawa anak perempuannya yang berusia 11 tahun empat bulan telah dicabul oleh seorang lelaki yang dipanggil ‘boboy’ dalam satu kejadian di Jalan Matang, di sini, 15 Oktober tahun lepas.
Semasa sebutan kes, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman yang dikenakan dapat berjalan bermula dari tarikh tangkapan dan menyesal atas perbuatan tersebut.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Md Syafique Md Hilmie memohon mahkamah menolak rayuan tersebut kerana perlu mengambil kira trauma yang dialami mangsa dan kepentingan awam sebagai pengajaran.