Lelaki cedera kereta terlanggar pembahagi jalan pagi tadi

KUCHING: Seorang lelaki cedera di kepala dan badan apabila kenderaan yang dipandunya remuk akibat terlanggar pembahagi jalan di Jalan Tun Jugah, pagi tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima laporan sekitar jam 4.17 pagi sebelum mengarahkan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan BBP Tabuan Jaya ke lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa, Walter Jangan berusia 29 tahun ketika kejadian masih tersepit di bahagian tempat pemandu.

“Hasil siasatan awal mendapati sebuah kenderaan jenis Viva hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di tempat kejadian.

“Susulan kejadian kereta terbabit mengalami remukan serius di bahagian hadapan menyebabkan mangsa tersepit sebelum dikeluarkan oleh anggota penyelamat,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ekoran itu, katanya mangsa seterusnya segera dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk diberi rawatan lanjut.

Ujarnya, operasi ditamatkan setelah memastikan kawasan kejadian selamat pada 4.50 pagi.

Sementara itu, operasi penyelamat disertai 8 anggota BBP Tabuan Jaya dan 3 daripada BBP Batu Lintang.

1. CEDERA… Mangsa dipercayai pemandu kenderaan terbabit cedera di bahagian kepala dan badan akibat kejadian

Suara Sarawak