KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki cedera parah dipercayai terkena senjata tajam dalam pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah bistro, Kota Samarahan.
Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata kejadian dilaporkan pada jam 2.05 petang di Balai Polis Kota Sentosa hari ini.
“Kesemua suspek ditangkap di sekitar kawasan Batu 7, Padawan dan ditahan reman untuk siasatan lanjut kes.
“Sembilan orang suspek yang ditangkap termasuk suspek utama yang merupakan seorang warga tempatan berusia 20 tahun dan 29 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak oleh rakannya sendiri untuk mendapatkan rawatan.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis, justeru orang ramai disarankan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam dan mengganggu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata.
Jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.