LUNDU: Seorang lelaki cedera pada bahagian muka terkena letupan serbuk klorin di sebuah pusat peranginan di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.16 pagi lalu mengerakkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu ke lokasi kejadian.
Katanya, setibanya dilokasi kejadian, Komander Operasi melaporkan letupan berlaku semasa kerja pembersihan kolam renang dijalankan.
“Mangsa berusia 30 tahun telah dihantar ke hospital oleh pekerja pusat peranginan tersebut untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pasukan bomba hanya memastikan keadaan di lokasi benar-benar selamat sebelum berangkat balik ke balai.
