Lelaki dibunuh kejam kenalan sendiri

KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dibunuh kejam oleh kenalan sendiri ditemui dengan beberapa kesan tikaman objek tajam pada badan di kaki lima sebuah premis RPR fasa dua, Batu Kawa, pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din berkata, mangsa dijumpai terbaring di lokasi terbabit oleh orang awam sebelum melaporkan kejadian kepada pihak polis sekitar jam 3.40 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah dibunuh oleh kenalan sendiri yang membonceng motosikal bersamanya selepas selesai minum di lokasi kejadian untuk menuju ke MJC.

“Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) menunjukkan pembonceng telah menyelak bajunya lalu mengeluarkan sesuatu objek tajam sebelum bertindak menikam mangsa di hadapannya beberapa kali.

“Akibat daripada itu mangsa dilihat telah terjatuh daripada motosikal dan dipercayai meninggal dunia di lokasi,” jelasnya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK), Kuching Sarawak, hari ini.

Dedahnya, identiti suspek telah pun dikenal pasti, iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun.

Tegas beliau, pihaknya telah mengeluarkan elemen bagi mengesan suspek yang masih bebas.

Tambahnya, beberapa saksi yang berada di lokasi semasa kejadian turut tampil bagi membantu pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

Susulan itu, katanya kejadian dipercayai berpunca kerana si mati sebelumnya dikatakan telah memecahkan cermin kereta suspek.

Ujarnya, mayat telah diserahkan kepada pihak Ambulan bagi siasatan lanjut dijalankan manakala kes masih lagi dalam siasatan.

Suara Sarawak