KUCHING: Padah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM2,700 atau lima bulan penjara, tahun lalu.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Mahmud Bujang selepas satu pertuduhan dibacakan dihadapannya.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik daerah Kuching, kira-kira jam 2 petang, 7 Jun 2022.
Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) Akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan diletakkan di bawah pengawasan serta merta untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun.
Berdasarkan fakta kes, air kencing tertuduh didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB 1952.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.