KUCHING: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas bot kecil yang dinaikinya dipercayai karam di perairan Kampung Pasir Pandak, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi.
Menurutnya berdasarkan maklumat daripada seorang saksi, dia terlihat lelaki terbabit yang memakai baju berwarna hitam telah menaiki sebuah bot kecil daripada perairan Kampung Pasir Pandak menuju ke perairan Sedungus Salak.
“Setelah beberapa minit, dia ternampak bot yang dinaiki oleh lelaki tersebut terumbang ambing di tengah laut sebelum hilang daripada pandangan dan hanya kelihatan peti berwarna hitam terapung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Namun, setakat ini identiti lelaki terbabit masih belum dikenal pasti.