
BINTANGOR: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah pada 13 Julai lalu, dijumpai dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, lelaki berusia 44 tahun itu dilaporkan pulang sendiri ke rumah kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
Susulan itu katanya, pasukan mencari dan menyelamat terus ke lokasi penemuan dan mengesahkan bahawa individu yang ditemui itu adalah lelaki yang dilaporkan hilang.
“Mangsa dalam keadaan sihat dan tidak mengalami kecederaan. Dia kemudiannya dibawa ke klinik Nanga Wak untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berikutan penemuan tersebut katanya, operasi ditamatkan pada jam 10.40 pagi.
Terdahulu, lelaki terbabit dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya pada Rabu lalu.
Bimbang dengan keselamatannya, penduduk kampung melakukan pencarian di kawasan sekitar rumah panjang namun gagal sebelum satu laporan berhubung kehilangannya dibuat di Balai Polis Julau, pada jumaat.