
KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas kesalahan memiliki sebilah parang sepanjang 48 sentimeter tanpa maksud sah, 10 Mac lalu.Tertuduh Omar Karim, 52, membuat pengakuan itu selepas satu pertuduhan di bawah Subseksyen 7 (1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Mengikut pertuduhan, dia memiliki senjata tersebut dalam sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Seberang Bako, sekitar jam 11.30 pagi, 10 Mac lalu.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi sepuluh tahun.
Hakim Musli Abdul Hamid memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 10 Mac lepas.
Menurut fakta kes, pihak polis telah menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita menyatakan bapa saudaranya (tertuduh) telah mengamuk menggunakan parang dan cuba mencederakan diri sendiri.
Pada hari yang sama, sekitar jam 7.30 malam, sepasukan polis bersama anggota bomba berjaya menangkap tertuduh dalam bilik rumah terbabit.
Parang sepanjang 48 sentimeter yang digunakan tertuduh turut dirampas.
Hasil siasatan, mendapati Omar telah melakukan kesalahan memiliki dan menggunakan parang tanpa tujuan sah serta cuba mencederakan diri sendiri.
Dalam rayuan kes, dia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap serta belum berkahwin memohon agar diringankan hukuman kerana perlu menyara kakak dan anak buah lelakinya.
Namun demikian, Timbalan Pendakwa Raya Norshafatihah Nor Azmi memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat kerana perlu mengambil kira berat kesalahan dan kepentingan awam.