KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri bersama seorang lagi rakannya sebuah beg silang yang diletakkan di atas meja luar sebuah kafe.
Mohammad Hanafi, 42, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Mengikut pertuduhan, dia bersama rakannya, dengan niat bersama, mencuri sebuah beg silang yang mengandungi kad pengenalan, kad bank, lesen memandu dan wang tunai berjumlah RM300 milik seorang lelaki berusia 44 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di meja luar sebuah kafe di Jalan Abell kira-kira 8.45 malam pada 20 Julai lalu.
Berikutan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Rakan tertuduh, Naszrul, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang sedang makan meletakkan beg silangnya di atas meja.
Seorang lelaki kemudian datang mengambil beg tersebut sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta Perodua Viva.
Laporan polis yang dibuat membawa kepada penahanan kedua-dua tertuduh pada 21 Julai lalu.
Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Viva, serangkai kunci dan kad pengenalan milik mangsa.
Mohammad Hanafi mengaku mengambil beg silang milik pengadu dan menggunakan wang yang dicuri untuk membeli rokok serta kad tambah nilai telefon.
Sementara itu, Naszrul mengaku memandu kenderaan tersebut dan menerima wang tunai RM100 daripada Mohammad Hanafi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.




