ARTIKEL

Lelaki dipenjara tujuh bulan salah guna dadah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, awal November lalu.

Tertuduh Rudy Hartono Abdullah, 45, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Zaiton memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap 7 November lalu.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh di bawah pengawasan pihak polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasukkan dadah terlarang jenis Methamphetamine ke dalam badannya.

Dia melakukan perbuatan itu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, sekitar jam 2.10 petang, 6 November lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Difahamkan tertuduh juga mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan yang sama dan masih menjalani hukuman penjara bagi kes lampau.

Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU