KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dua jenis dadah syabu.
Tertuduh berusia 24 tahun mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nur Syaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama, kerana memasukkan dadah terlarang jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam badannya.
Dia didakwa positif dadah semasa ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, sekitar 1.45 pagi, 5 Mac lepas.
Sabit kesalahan membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, semasa kejadian pihak polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Hasil saringan awal air kencing tertuduh didapati positif dadah.
Kemudian, laporan sampel urin tertuduh dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak turut mengesahkan tertuduh positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Mahkamah memerintahkan tertuduh di bawah pengawasan pihak polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.




