Lelaki dipukul, dirompak dua kali dalam dua jam

MIRI: Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bukan sahaja dipukul oleh lima individu, malah dirompak apabila bertembung kali kedua dengan kumpulan tersebut dalam tempoh dua jam.

Menurut sumber, kejadian malang itu berlaku pada jam 9.30 malam Rabu apabila mangsa berkunjung ke pasar berdekatan pusat bandar untuk mengutip bayaran daripada peniaga tempatan, seperti yang diarahkan majikannya.

Dalam perjalanan pulang selepas mengutip bayaran, mangsa didatangi oleh seorang wanita dan empat lelaki sebelum dipukul dan ditinggalkan di tempat kejadian.

Bagaimanapun, mangsa terserempak sekali lagi dengan suspek sekitar dua jam selepas itu dan kali ini, mangsa dirompak wang tunai dan barang-barang berharga yang dianggar bernilai sekitar RM2,000.

Risau akan keselamatannya, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Miri.