ARTIKEL

Lelaki ditahan, 23 paket disyaki syabu dirampas di Bintangor

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANGOR: Seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun ditahan selepas polis menemukan 23 paket plastik lutsinar berisi hablur disyaki syabu seberat 16 gram dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Sing Hiong, di sini, semalam.

Bagaimanapun, hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.

Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak kira-kira jam 5.20 petang.

Menurutnya, pemeriksaan di rumah tidak bernombor itu membawa kepada penemuan 23 paket plastik lutsinar yang setiap satunya mengandungi ketulan kristal disyaki methamphetamine (syabu).

“Kesemua paket itu ditemukan di dalam sebuah beg kecil berzip berwarna merah yang diletakkan di atas meja tempat suspek ditahan.

“Suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong untuk tindakan lanjut dan hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod berkaitan kesalahan dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak lebih sembilan kali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Tansli berkata, pihaknya memandang serius kesalahan berkaitan dadah dan tidak akan berkompromi dengan kegiatan berkenaan.

Beliau turut menggesa masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah di daerah Meradong kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan berkenaan.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU