PADAWAN: Seorang lelaki ditangkap kerana memiliki amunisi, senjata api dan menjadikan kediamannya sebagai tempat membaiki senjata api.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata lelaki berusia lewat 50-an itu ditahan di rumahnya di sebuah kampung yang terletak di Batu 19, Jalan Kuching-Serian kira-kira jam 11.30 petang semalam, dalam satu operasi khas iaitu Op Laras.
Katanya operasi dilakukan oleh pasukan polis daripada Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan.

“Turut berjaya dirampas adalah pelbagai komponen senapang patah, peralatan yang digunakan untuk membuat dan membaiki senjata api, dua unit senapang angin dan juga amunisi.
“Tangkapan berjaya dilakukan hasil daripada intipan serta risikan maklumat sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, Abang Zainal berkata siasatan mendapati suspek mula melakukan kegiatan itu sejak tiga tahun lepas sebagai pendapatan sampingan.

Katanya suspek mendapat upah mengikut tahap kerosakan senjata yang dihantar kepadanya.
Justeru, beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan juga di bawah Seksyen 9 (2) akta yang sama atas kesalahan tidak memiliki sebarang lesen senjata api dan amunisi serta menggunakan kediaman sebagai bengkel membaiki senjata tanpa lesen yang sah.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun dan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Abang Zainal mengingatkan dan memberi amaran kepada masyarakat agar tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.