ARTIKEL

Lelaki ditahan edar dadah bernilai RM22,025

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Seorang lelaki ditahan polis didapati mengedar dadah bernilai RM22,025 di sebuah pusat hiburan di sini pada malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 25 tahun merupakan lelaki tempatan turut mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Menurut beliau, suspek ditahan pada 14 April di sebuah pusat hiburan di Jalan Pahlawan lebih kurang jam 10.20 malam.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik ketika menahan suspek telah menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Ketamin dengan anggaran berat kasar 50.20 gram.

“Turut dijumpai 14 paket plastik warna putih bertulis ‘Juice Master’ disyaki dadah jenis Ecstasy dengan anggaran berat kasar 579.8 gram,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Sabtu.

Zulkipli mendedahkan nilai semasa rampasan dianggarkan bernilai RM22,025.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Suspek seterusnya ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952 serta direman selama enam hari bagi membantu siasatan,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 jika disabitkan kesalahan, mandatori gantung sampai mati, manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali serta pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU