BAU: Seorang ejen menjual loteri haram ditahan polis di Tasik Biru, di sini pada semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, suspek lelaki berusia 33 tahun itu ditahan menerusi Op Dadu yang dijalankan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau kira-kira jam 4.30 petang.
“Pasukan operasi turut merampas sekeping kertas bertulis empat digit angka serta sejumlah wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4A (a) Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM200,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun penjara.