Lelaki ditahan sekali lagi kerana simpan barangan kontraban

SIBU: Seorang lelaki yang pernah ditahan kerana menjadikan premisnya tempat penyimpanan rokok dan minuman keras kontraban di Sri Aman, Ogos lepas, tidak serik apabila mengulangi kegiatan serupa, di bandar Betong pula.

Kegiatan lelaki berusia 40-an itu bagaimanapun terbongkar dan dia berjaya ditahan dalam satu serbuan Ops Libas oleh anggota Kompeni C Batalion 10 Pasukan Gerakan Am Sri Aman di sebuah premis di Jalan Ah Wee pada 12 tengah hari semalam.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 10, DSP Frediel Nyambong berkata sejumlah 3,376 kotak bir pelbagai jenama dirampas dengan anggaran nilai RM506,400 termasuk cukai.

“Lelaki itu mengaku pemilik kepada premis yang dijadikan tempat penyimpanan barang-barang tanpa cukai seperti rokok dan bir sebelum dijual kepada pengguna di sekitar Bandar Betong,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebuah lagi premis bersebelahan turut diserbu dan sejumlah 133 karton rokok pelbagai jenis dan jenama serta 10 kotak bir dirampas dengan anggaran nilai RM25,440.00 termasuk cukai.

Katanya, dua pekerja wanita tempatan berusia 20-an ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Betong untuk tindakan lanjut.

Frediel memaklumkan pihaknya menjalankan operasi sepanjang masa dan tidak bermusim serta menyeru orang ramai untuk bekerjasama melaporkan sebarang kegiatan haram kepada pihak berkuasa. – Bernama