MIRI: Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes kecurian kompresor penyaman udara di sebuah pejabat di Bandar Baru Permyjaya, di sini Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek ditahan di Lorong Desaras 1A, Tudan Phase 6, selepas cuba melarikan diri ketika pemeriksaan hendak dijalankan terhadapnya.
“Kejadian kecurian itu berlaku pada 14 September lalu kira-kira 4 pagi.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang individu tidak dikenali dilihat mengambil sebuah kompresor penyaman udara yang dipasang di bahagian luar dinding pejabat berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Farhan, bertindak atas maklumat dan hasil risikan, polis kemudian berjaya mengesan seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut di Lorong Desaras 1A.
Ketika pemeriksaan hendak dijalankan katanya, suspek bagaimanapun cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan anggota polis.
“Polis turut merampas sebuah kompresor penyaman udara yang sudah dilerai dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Barang rampasan itu kemudian dijadikan barang kes bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan “ katanya lagi.






