Trending

Lelaki ditahan untuk bantu siasatan kes bunuh di Bintulu

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BINTULU: Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki dalam kejadian di kawasan pembuangan sampah di Medan Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Bartholomew Umpit berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di sebuah taman perumahan di bandar Bintulu sekitar jam 11.30 malam semalam.

Foto: FB PDRM Bintulu

Beliau berkata suspek ditahan susulan penemuan mayat seorang lelaki kira-kira jam 8.27 malam Rabu.

“Suspek ditahan reman selama lima hari sehingga 13 Jun ini untuk membantu siasatan. Kes diklarifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis,”katanya lagi.

Menurut Bartholomew, pihak polis menerima maklumat awam yang melihat seorang lelaki terbaring berlumuran darah di kawasan tong pembuangan sampah di kawasan Medan Jaya, di sini.

Katanya, sebaik menerima maklumat, polis bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa disyaki warga tempatan terbaring lengkap berpakaian baju hitam dan berseluar jeans pendek berlumuran darah dengan kesan kecederaan di kepala bahagian kiri dan beberapa kesan lebam di bahagian badan, kaki dan tangan.

“Mangsa dijumpai berhampiran dengan sebuah kenderaan jenis Proton Saga Aeroback,” ujarnya lagi.

Menurut Bartholomew lagi, pemeriksaan lanjut di tempat kejadian turut menjumpai tiga batang kayu berhampiran mangsa termasuk dokumen pengenalan diri.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

Sekiranya ada mana-mana pihak mempunyai maklumat berkenaan perkara tersebut, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes ASP Tay Chiew Thwa @Rico Tay di talian 011-11403689 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru