Lelaki ditangkap kerana mengugut membunuh ibu bapa

PADAWAN: Seorang lelaki ditangkap selepas mencederakan dan mengugut membunuh ibu bapanya.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata tangkapan ke atas suspek susulan laporan polis yang dibuat oleh bapanya.

Katanya berdasarkan laporan bapa suspek yang merupakan seorang pesara berusia 78 tahun, kejadian berlaku di rumah mereka di Nine 7 Resident, 442 Sublot 16, Lorong 3a Seroja Jalan Matang sekitar jam 6.20 petang Ahad lalu.

“Semasa pengadu berada di rumah bersama isteri, suspek telah mengamuk dan terus mencekik ibunya.

“Suspek juga telah membaling pinggan ke arah ibunya tetapi tidak kena.

“Selepas beberapa minit, suspek bertindak menampar muka pengadu menggunakan pinggan sambil mengeluarkan kata-kata ‘lebih baik kamu dua mati saja, aku bunuh’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidil menambah suspek juga telah meminta bapanya menghantarnya ke Siol Kandis untuk mengambil kereta namun sebelum keluar, dia telah bertindak menyembur “Ridsect” ke arah gas memasak di dapur rumah menyebabkan api marak.

“Ekoran itu, pengadu telah meminta supaya suspek memadam api dan memberitahunya yang dia akan menghantarnya ke tempat yang dimaksudkan.

“Semasa dalam kereta di Jalan Matang Baru, suspek bertindak agresif semula serta memecahkan cermin mata dan menumbuk bahu sebelah kiri bapanya.

“Pengadu telah memberhentikan kereta di tengah jalan raya dan terus keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Aidil berkata sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan telah berjaya menangkap suspek di Jalan Mendu, Kuching lebih kurang jam 3.45 petang hari ini serta merampas sebuah kereta yang digunakannya.

Bagaimanapun, katanya suspek, 38, yang sudah berkahwin dan menganggur itu tidak mengaku ada mencederakan dan mengugut membunuh ibu bapanya.

Aidil berkata pemeriksaan juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta merupakan orang yang dikehendaki.

“Suspek juga disyaki terlibat dalam kes samun di Kampung Samariang Batu, Kuching,” katanya.

Katanya suspek akan direman esok untuk siasatan lanjut.

Suara Sarawak