MIRI: Seorang lelaki ditangkap sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bersama-sama 11 paket dadah dengan berat keseluruhan 404 gram pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Miri Alexson Naga Chabu berkata, lelaki warganegara tempatan berumur 26 tahun itu ditangkap sekitar 12.30 tengah malam di kawasan Hooven Garden, Miri.
“Semasa pemeriksaan dilakukan, salah seorang anggota serbuan menjumpai 11 paket plastik bertulisan Juice Master disyaki dadah jenis Ecstacy dengan anggaran berat 404 g,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Alexson berkata, kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.
“Pihak polis juga ingin menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah supaya segera melaporkannya ke Balai Polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama-sama,” katanya.