PADAWAN: Seorang lelaki meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri bersama seorang wanita di dalam kereta yang diparkir di hadapan kedai 7 Eleven, Bandar Baru Batu Kawa di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata mangsa, 39, yang bekerja sebagai Pengurus Pamasaran Syarikat Panasonic disahkan meninggal dunia sebaik dikeluarkan daripada kereta kira-kira jam 6.53 petang semalam manakala wanita bersamanya selamat.
Katanya kejadian dilaporkan oleh orang awam kira-kira jam 6 petang, selepas mendapati kedua-dua mereka tidak sedarkan diri di dalam kereta.
“Pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang telah bertindak memecahkan cermin tingkap bahagian pintu belakang penumpang untuk membuka pintu kereta yang berkunci dari dalam dan mengeluarkan kedua-dua mangsa dari dalam kereta.
“Semasa kejadian, mangsa wanita didapati dalam keadaan terbaring atas paha si mati manakala badan serta kepala si mati menyandar pada tepi tingkap kereta pada bahagian pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jaw Shyong berkata wanita berusia 38 tahun itu kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulans bomba.
“Status mangsa di HUS adalah stabil tetapi masih menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Manakala, beliau berkata hasil siasatan lanjut mendapati mangsa yang meninggal dunia sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak berumur sembilan dan lima tahun.
Katanya hasil siasatan awal setakat ini mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku.
“Bedah siasat mangsa hanya dapat dilakukan selepas keputusan ujian Covid-19 diperolehi,” katanya.
Justeru, Jaw Shyong berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) memandangkan tiada unsur jenayah di tempat kejadian sehingga keputusan bedah siasat diperolehi mengenai punca kematian.