Lelaki ditemui mati tergantung di kampung Suba Bandar

BAU: Seorang lelaki ditemui ibunya mati dalam keadaan tergantung di rumah mereka, di Kampung Suba Bandar semalam.

Mangsa, 20 tahun dipercayai membunuh diri dengan menggantung diri menggunakan wayar elektrik di tingkat atas rumah mereka.

Ibu mangsa yang melihat kejadian segera mendapatkan bantuan daripada pihak ambulans dengan memandu kenderaannya ke Hospital Bau.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan Hospital Bau setibanya pihak ambulans tiba di tempat kejadian.

“Setelah diperiksa, terdapat kesan jerutan wayar di leher mangsa.

“Manakala bahagian tubuh yang lain dalam keadaan baik tanpa ada kesan lebam,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Poge, mangsa adalah seorang yang mengalami masalah pembelajaran sejak dari kecil dan dikategorikan sebagai murid pendidikan khas.

“Hasil siasatan lanjut mendapati mangsa telah dibawa ke Hospital umum Sarawak dan Hospital Bau kerana menghadapi masalah kesihatan dan kemurungan sejak sebulan yang lalu.

“Selain itu, mangsa sebelum ini turut menerima rawatan perubatan kampung serta upacara sembahyang kerana berkelakuan aneh disyaki gangguan makhluk halus,” kata beliau.

Tambahnya, keluarga mangsa memaklumkan tidak mahu sebarang siasatan serta bedah siasat dibuat ke atas tubuh mangsa tanpa paksaan mana-mana pihak.

Walaubagaimanapun, jelas beliau kes masih lagi dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Suara Sarawak