KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik di tapak pencawang telekomunikasi, Kampung Senangeh, Sadong Jaya, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Brodie Brangka berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mangsa kira-kira jam 12.41 tengah hari.
Katanya, ekoran daripada maklumat tersebut, sepasukan polis dari Balai Polis Asajaya telah bergerak ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati, seorang lelaki lengkap berpakaian berada dalam keadaan terbaring di tepi pagar tapak pencawang.
“Mangsa cuba memotong wayar yang berada di kawasan tapak pencawang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan ke atas mangsa juga mangsa merupakan seorang warga tempatan berusia 18 tahun dan mempunyai lima rekod jenayah lampau bersabit kes pecah rumah, curi, dan dadah.
“Mangsa, telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk proses bedah siasat.
Tiada unsur jenayah di kawasan tempat kejadian,” jelasnya.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.