Lelaki hilang di Sungai Murum ditemui lemas

BELAGA: Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika menjala ikan dalam kejadian di Sungai Murum, di sini, ditemui.

Mayat Johnny Mering, 52, ditemui penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11.30 pagi tadi.

Mangsa ditemui 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan SAR sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

Dengan penemuan itu, SAR mangsa ditamatkan pada jam 1.15 petang.

Terdahulu, Johny dikhuatiri lemas semasa menjala ikan di kawasan jeram Sungai Murum, 12 tengah hari Sabtu.

Ibu Pejabat Polis Daerah Belaga mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.45 petang daripada rakan mangsa, Mambong Jawa, 38.

Empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Winston Tan berkerah ke lokasi kejadian bagi membantu usaha mencari dan menyelamat mangsa.

Usaha pencarian mangsa turut mendapat bantuan masing-masing tiga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Belaga dan APMM serta 30 penduduk kampung.