Lelaki hilang dibawa arus deras Sungai Kuap

KUCHING: Seorang lelaki dikhuatiri hilang setelah bertindak terjun ke dalam Sungai Kuap daripada Jambatan Kuap Jalan Kuching – Samarahan, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya segera dikerahkan ke lokasi sejurus menerima laporan kejadian sekitar jam 8 pagi.

Katanya, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 17 tahun yang berasal daripada Taman Juranda Emas, Siburan.

“Hasil makluman awal kita dapati mangsa ketika kejadian bersama ibu, kakak, dan isterinya menaiki sebuah kereta jenis Alza.

“Setelah itu, mangsa dilaporkan meminta kenderaan dinaiki mereka berhenti di atas jambatan terbabit sebelum bertindak terjun ke dalam sungai berarus deras itu,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan kejadian, pihaknya kini membuat persiapan jentera air bagi membuat pengesanan mangsa di kawasan sekitar sungai.

“Bot Penyelamat daripada BBP Kota Samarahan dan BBP Tabuan Jaya dilaporkan dalam perjalanan menuju ke lokasi bagi membantu operasi mengesan mangsa.

“Pasukan Penyelamat Di Air(PPDA) turut diarahkan untuk bersedia digerakkan pada bila-bila masa daripada BBP Batu Lintang,” katanya.

Dalam pada itu, air sungai ketika kejadian kelihatan mengalir deras (surut) menuju ke arah hilir sungai.

Suara Sarawak