Lelaki hilang dipercayai jatuh dari perahu

SONG: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas dipercayai jatuh dari perahu dalam kejadian di Sungai Katibas pada Sabtu.

Mangsa dikatakan hilang apabila penduduk kampung hanya menemui perahu mangsa hanyut berdekatan Jambatan Sungai Katibas.

Mangsa dikenali Tunu Kudi, 59, sebelum itu difahamkan menggunakan perahu keluar ke kedai membeli minyak enjin sangkut dan barangan keperluan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan mengesahkan pihaknya menerima laporan dari Balai Polis Song pada Isnin, yang dibuat anak mangsa setelah mendapati ayahnya tidak pulang ke rumah sejak Sabtu lalu.

“Pada 28 November (Sabtu) sekitar jam 10 pagi mangsa keluar dari rumah menggunakan perahu untuk ke kedai namun tidak pulang ke rumah sehingga keesokkan harinya (Ahad).

“Bagaimanpun penduduk kampung sekitar menjumpai perahu milik mangsa hanyut berdekatan Jambatan Sungai Katibas dan memaklumkan perkara tersebut kepada anak mangsa,” katanya.

Bertindak hasil laporan tersebut, bomba telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar kawasan lokasi terakhir perahu mangsa hanyut ditemui.

Operasi turut dibantu oleh polis dan penduduk kampung sekitar.

Suara Sarawak