BELAWAI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas ketika memukat udang di kawasan Pantai Kampung Tepi Laut, di sini, ditangguhkan dan disambung esok.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, operasi tersebut ditangguhkan pada jam 5 petang tadi hasil perbincangan bersama pihak polis.


“Ini disebabkan keadaan air pasang deras serta bergelombang membahayakan pasukan SAR.
“Mangsa masih belum dijumpai dan operasi ini akan diteruskan esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, luas pencarian dilakukan dalam radius dua kilometer dan menggunakan kaedah ‘surface searching’ dengan bot penyelamat.
“Usaha mencari menggunakan pukat tunda dan menarik jaring turut dilakukan sepanjang pantai di lokasi kejadian oleh ahli keluarga dan penduduk kampung.
“Namun, mangsa masih gagal dijumpai,” tambahnya.
Terdahulu, seorang lelaki dilaporkan hilang ketika memukat udang di kawasan pantai Kampung Tepi Laut, di sini, petang semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Sabaruddin Awg Kamarudin, 48, dilaporkan hilang selepas dilihat tenggelam dan tangannya terkapai meminta tolong.





