Lelaki Indonesia maut terhantuk batu

LUNDU: Seorang lelaki warga Indonesia maut setelah kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan ladang Golden Practise berhampiran Sungai Belian, semalam.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian dilaporkan melibatkan kemalangan kendiri mangsa bersama sebuah jentera berat jenis Traktor Eurostar sekitar jam 1.30 tengah hari.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Syaiful Nizam Munri, 34, yang berasal daripada Sagu Sambas, Indonesia.

“Hasil siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu uji oleh mangsa telah hilang kawalan ketika berada di kawasan berbukit ladang terbabit.

“Dipercayai mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat terhantuk ke batu setelah bertindak terjun keluar daripada jentera ketika kejadian,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak(HUS) oleh majikannya untuk membuat rawatan lanjut.

Walaubagaimanapun, tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh HUS sekitar jam 2.47 petang pada hari sama kejadian.

Ujarnya, kes masih lagi dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.