BINTULU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai di sini pada Ahad lalu, dijumpai lemas dalam operasi yang memasuki hari kedua, semalam.
Mayat Iharani Kassim, 36, ditemui terapung di sungai berdekatan Jambatan Batang Tatau iaitu kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi kejadian pada jam 4.41 petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, operasi turut dibantu pasukan polis dan penduduk kampung.
“Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari kedua, ditumpukan pada sektor B iaitu dari lokasi berlakunya kejadian sehingga ke jambatan Tatau.
“Kita juga melakukan pencarian di sekitar sektor C iaitu dari Jambatan Tatau sehingga ke hilir sungai sehingga mayat mangsa ditemui,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut keterangan adik ipar mangsa yang merupakan saksi kejadian, mangsa, dikatakan jatuh ke dalam sungai pada jam 11 malam.
Sementara itu, bomba menerima panggilan kejadian itu pada jam 11.15 pagi keesokan harinya sebelum melancarkan operasi SAR.