BATANG AI: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika sedang bermandi-manda berhampiran jambatan gantung dekat empangan hidro Batang Ai siang tadi, ditemui lemas.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga (Sri Aman) Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, mayat Budak Tom, 36 tahun berasal dari Sri Aman ditemui kira-kira 7.02 petang tadi.
“Mayat mangsa ditemui tertiarap pada kedalaman lima meter kira-kira 7.02 petang,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Terdahulu jelasnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dimaklumkan tentang insiden oleh Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak.
“Kita dimaklumkan seorang lelaki berumur 36 tahun dikuatiri lemas ketika aktiviti mandi-manda di kawasan berhampiran jambatan gantung dekat empangan hidro Batang Ai.
“Menurut isterinya, mangsa sempat meminta tolong sebelum hilang dibawa arus air sungai
“Sejurus itu sepasukan anggota digerakkan untuk mendapatkan maklumat di lokasi kejadian dan telah pun memaklumkan kes kepada ketua balai dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA),” ujarnya.
Susulan penemuan tersebut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan serta-merta.




