KUCHING: Seorang lelaki ditangkap kerana merentas daerah tanpa kebenaran selain memandu dalam keadaan mabuk.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata suspek berusia 24 tahun itu ditahan semasa melalui sekatan jalan raya Op Bersepadu Covid-19 di Jalan Lapangan Terbang Kuching, di sini kira-kira jam 3.15 pagi hari ini.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, suspek dalam keadaan mabuk tidak mahu memberi kerjasama dan mengeluarkan perkataan ‘l%nc@u’ serta marah-marah kepada petugas sekatan jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah suspek juga gagal memberi alasan yang munasabah kerana merentasi daerah dari Padawan ke Kuching dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.
Awang Din berkata suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 509 KK dan Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa PKPB.
Pada masa sama, Awang Din mengingatkan orang ramai supaya tidak memandu semasa mabuk kerana tabiat ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri bahkan kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Sudah banyak kejadian yang melibatkan kematian angkara pemandu mabuk,” katanya.