PADAWAN: Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai tergelincir dan terjatuh dari tangga rumah sewa di Kota Sentosa, Jalan Penrissen pada Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata dalam kejadian dilaporkan kira-kira jam 9.35 malam itu, mangsa, 55, pemandu lori simen berasal dari Kota Samarahan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS).
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa difahamkan telah bertengkar dengan teman wanitanya di dalam bilik rumah sewa tersebut.
Disebabkan itu, Jaw Shyong berkata penjaga rumah itu telah menegur dan menasihati mereka agar tidak bergaduh kerana malu dengan jiran-jiran bersebelahan yang tinggal dalam bilik berasingan dalam rumah sewa tersebut.
“Mangsa kemudian keluar dari bilik dan menuju ke arah tangga.
“Semasa penjaga rumah itu masih bercakap dengan kekasih mangsa di hadapan bilik mereka, tiba-tiba mereka terdengar terdapat bunyi benda jatuh.
“Mereka terus menuju ke arah tangga dan mendapati mangsa telah terbaring di bawah ruang kaki lima antara anak tangga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jaw Shyong menambah adik mangsa yang tiba di lokasi kejadian memberitahu bahawa mangsa mempunyai penyakit darah tinggi, asma serta kencing manis dan pernah ditahan di wad akibat penyakit asma kronik yang dihidapinya.
Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian tidak mengsyaki ada unsur jenayah.
Katanya bedah siasat akan dijalankan ke atas mayat mangsa untuk mengetahui punca kematian.