KUCHING: Dua lelaki ditahan kerana disyaki memukul seorang remaja lelaki berusia 18 tahun sehingga menyebabkan kematian dalam satu kejadian di Jalan Tun Jugah, di sini, hari ini.
Kedua-dua suspek warga tempatan berumur 43 dan 50 tahun ditahan sepasukan polis Cawangan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh apabila mangsa yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) telah meninggal dunia
“Kedua-dua suspek telah dihadapkan ke hadapan Majistret bagi permohonan reman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos depan bagi membantu siasatan.
“Kes dipercayai berpunca daripada kisah percintaan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara katanya, bedah siasat akan dilakukan pada esok.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Tambahnya lagi, kes ini masih dalam peringkat siasatan dan mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan yang melangkaui undang-undang.
Beliau turut mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai untuk disalurkan ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
