Lelaki maut digilis treler di Saratok

SARATOK: Seorang lelaki dari Rh. Mat Ring, Tembawai Kapok, Awik meninggal dunia pada usia genap 47 tahun selepas digilis treler dalam kemalangan jalan raya di KM2.5 Jalan Saratok, 4:30 petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok Deputi Superintendan Mordani Tanin, mangsa Reynold Melila Alban Ling kelmarin (9 September) genap 47 tahun sedang menunggang motosikal.

Katanya, Reynold disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Saratok setelah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, badan dan tangan kiri dipercayai digilis tayar hadapan sebelah kiri treler.

“Hasil siasatan awal polis mendapati, kemalangan berlaku ketika motosikal jenis Yamaha secara tiba-tiba bergerak masuk ke jalan, pada masa yang sama sebuah treler sedang bergerak menuruni jalan berbukit dari arah simpang Saratok.

“Ini menyebabkan treler berkenaan cuba mengelak dengan menuju ke lorong sebelah kanan.

MAUT … Mayat Reynold yang berada di bawah lori selepas digilis treler dalam kemalangan jalan raya di KM2.5 Jalan Saratok, 4:30 petang semalam.

“Namun gagal apabila bahagian lampu hadapan sebelah kiri telah melanggar motosikal terbabit lalu mengakibatkan penunggangnya terperosok ke bawah treler sebelum digilis, sementara motorsikalnya terbabas ke lorong bertentangan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Justeru itu jelasnya, Reynold mengalami kecederaan parah dan akhirnya disahkan maut di tempat kejadian.

Sementara pemandu treler berusia 28 tahun dari Jalan Pekan Machan, Kanowit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat seterusnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Saratok dan akan dibedah siasat sekitar 2:00 petang ini.

Tambah Mordani, polis masih menyiasat lanjut kes di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.