Lelaki maut dilanggar Hilux

TATAU: Seorang lelaki maut selepas dilanggar sebuah Toyota Hilux di simpang perumahan Pine Tatau, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.50 itu, mangsa yang dikenali sebagai Sabli Liong, 27, dari Rumah Mengkan Sungai Engkabau Katibas, Song disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Manakala pembonceng, Menteri Abu, 26, dari Rumah Jitai Sungai Selitut, Tatau hanya cedera ringan di bahagian siku dan lutut kiri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata semasa kejadian mangsa dikatakan sedang bergerak dari arah Rumah Sengalang, Selitut Jalan Tatau- Bintulu menuju Pasar Lama Tatau.

Menurut beliau, apabila tiba di simpang perumahan Pine Tatau, motosikal yang ditunggang mangsa telah terbabas kerana cuba mengelak pikap terbabit yang tiba-tiba keluar dari simpang kiri.

Insiden itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum dilanggar pemandu pikap terbabit.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.