Lelaki maut disyaki gantung diri

MIRI: Seorang lelaki berusia 34 tahun dijumpai mati disyaki menggantung diri menggunakan tali kotak di sebuah rumah kongsi bersebelahan bangunan kilang lama di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, pengadu sedang mencari kayu di sebuah bangunan kilang lama dan mendakwa melihat satu tubuh manusia tergantung dengan leher terikat dalam rumah kongsi bersebelahan kilang itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Marudi ASP Jaimi Husni berkata, pengadu kemudian mendapati tubuh itu adalah pakciknya sendiri dan dipercayai meninggal dunia semasa dijumpai.

“Mangsa datang ke sini untuk mencari kerja pada 14 Jun lalu dan tinggal bersama pengadu sejak itu.

“Pada hari kejadian, mangsa berada di rumah kongsi bersendirian semasa pengadu turun bekerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai menggantung diri sendiri menggunakan tali pengikat kotak.

Ujar Jaimi, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk siasatan lanjut.